Thursday, March 3, 2011

hak-hak isteri dalam perkahwinan


Perkahwinan merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul oleh 
suami dan  isteri. Tanggungjawab  suami adalah lebih berat daripada tanggungjawab
isteri meskipun ramai yang menganggap isteri lebih banyak beban berbanding suami. 
Namun begitu, hakikatnya di alam akhirat nanti suami mempunyai bebanan yang lebih
berat lagi untuk dilaksanakan, di mana suami akan dipertanggungjawabkan atas segala
yang berlaku ke atas isteri dan keluarganya.hak yang wajib suami tunaikan kepada isteri yang terdapat di 
dalam al-Quran dan al-Sunnah, antaranya hak mahar, nafkah, komunikasi yang baik, 
hak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar dan sebagainya. hak wanita ke atas suami pada era 
ini terdapat ramai wanita yang masih keliru  tentang hak-hak yang wajib diperolehi 
daripada suaminya, contohnya hak mereka dalam bersuara, bekerja, hak terhadap harta 
sendiri dan harta sepencarian antara mereka dan sebagainya.



 Hak Isteri Dalam Perkahwinan

1.
Apakah hak anda sebagai seorang isteri?
Seseorang isteri itu adalah berhak kepada : 
i) Nafkah 
ii) Kasih sayang dari suami 
iii) Hak untuk mendapatkan keadilan

2.
Apakah yang dimaksudkan dengan nafkah?
Nafkah ialah perbelanjaan yang wajib dikeluarkan oleh suami terhadap isteri.

3.
Apakah nafkah-nafkah yang wajib ke atas suami terhadap isterinya?
Nafkah itu adalah seperti : 
i) Makan dan minum; 
ii) Pakaian; 
iii) Tempat tinggal; 
iv) Perubatan; dan 
v) Pembantu rumah sekiranya perlu

4.
Bilakah nafkah ini boleh dituntut?
Nafkah boleh dituntut pada bila-bila masa semasa perkahwinan masih berlangsung.

5.
Berapakah kadar nafkah?
Kebiasaannya kadar nafkah adalah berdasarkan kepada kemampuan dan kedudukan kewangan suami.

6.
Bagaimanakah hak nafkah seorang isteri itu boleh gugur?
Hak nafkah seorang isteri itu boleh gugur jika dia nusyuz atau enggan menurut perintah suami.

7.
Apakah yang dimaksudkan dengan nusyuz?
Nusyuz ialah keengganan isteri untuk menurut kemahuan dan perintah suami seperti menjauhkan diri daripada suami, meninggalkan rumah suami atau enggan berpindah bersama suami tanpa sebab yang sah mengikut Hukum Syara'.

8.
Bilakah tempoh penerimaan nafkah akan tamat?
Tempoh penerimaan nafkah akan tamat apabila pemberi (suami) atau penerima nafkah (isteri) meninggal dunia atau isteri telah didapati nusyuz.

9.
Adakah seseorang isteri itu berhak untuk menerima nafkah sekiranya dia tidak lagi menjadi nusyuz ?
Ya, seseorang isteri itu adalah berhak untuk menerima nafkahnya sebaik sahaja si isteri itu tidak lagi nusyuz.

10.
Apakah yang dimaksudkan sebagai nafkah tertunggak?
Nafkah tertunggak ialah nafkah yang tidak dibayar atau tidak diberi oleh suami bermula dari tarikh perkahwinan mereka atau bermula dari tarikh tertentu sepanjang perkahwinan mereka.

11.
Bolehkah isteri menuntut tunggakan nafkah?
Ya, isteri boleh menuntut tunggakan nafkah mengikut peruntukan undang-undang keluarga Islam.

12.
Apakah yang dimaksudkan dengan poligami?
Poligami ialah perkahwinan yang melebihi daripada seorang isteri.

13.
Apakah hak-hak isteri yang berpoligami?
Isteri-isteri suami yang berpoligami adalah berhak untuk mendapat layanan yang sama rata daripada suami mereka mengikut Hukum Syara' seperti pemberian nafkah yang merangkumi makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal dan perubatan serta lain-lain keperluan dalam rumah tangga.

14.
Adakah hak isteri pertama sama dengan hak isteri-isteri yang lain?
Ya, hak isteri pertama adalah sama dengan hak isteri-isteri yang lain.

15.
Apakah yang boleh dilakukan oleh isteri sekiranya suami berlaku tidak adil?
Sekiranya suami berlaku tidak adil, isteri boleh membuat pengaduan kepada mahkamah di bawah Seksyen 128, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

16.
Apakah hak seorang isteri apabila mengetahui suaminya telah berpoligami tanpa kebenaran mahkamah ?
Seorang isteri boleh membuat pengaduan kepada mahkamah di bawah Seksyen 123, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984

17.
Apakah hak seorang isteri yang telah ditinggal langsung oleh suami ?
Seorang isteri yang telah ditinggal langsung oleh suami boleh membuat pengaduan kepada mahkamah di bawah Seksyen 120, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.



No comments:

Post a Comment